Khamis, 30 Jun 2011

Cintaku tak kenal usia

Semanis Kurma: 30 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Cintaku tak kenal usia

Ayat doa 1: Doa keselamatan


Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara hari kiamat itu. An-Najmi, Ayat 58

Ayat doa 2: Doa ketika berhajat


(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. Yassin, Ayat 58

Point-point:
  • Doakan kebahagiaan untuk orang lain.
  • Cinta berdasarkan iman dan takwa.
  • Cintai Allah.
  • Baiki penampilan diri.
  • Buang pemikiran yang negatif.
  • Terimalah jodoh penuh keredhaan, itu satu bentuk rezeki.
  • Bersifat lemah lembut.
  • Ingat bahawa perkahwinan ialah perkongsian hidup. Susah senang bersama.

Tafsir Ayat: Solat dekatkan dengan Pencipta, erat silaturahim

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril, berbeza dengan ibadat lain. Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah.
Solat, kewajipan secara langsung dari Allah kepada Rasulullah dan umatnya adalah komunikasi yang menghubungkan antara manusia dengan Allah. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tanpa pengisian jiwa tetapi ibadah yang menuntut keikhlasan, ketakwaan dan rasa khusyuk ketika menghadap Allah.

Muslim beriman ialah yang menghadapkan seluruh kalbunya ke hadrat Ilahi ketika mendirikan solat dengan disaksikan deria ketakwaan di samping keinginan mencari petunjuk dan memohon taufik demi meraih kebahagiaan hidup dunia akhirat.

Muslim yang benar-benar beriman adalah yang berasa dirinya kerdil lagi daif di hadapan Allah yang Maha Besar.

Selain mendekatkan diri kepada Allah, ibadat solat adalah manifestasi kesamarataan antara hamba kerana semua wajib menunaikan solat tidak kira status sosial. Oleh itu, persaudaraan dianjurkan Islam didasari takwa, hormat menghormati dan menghargai demi keredaan Allah semata-mata.
Kesempatan Rasulullah menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi tanpa perlu kepada sebarang alat komunikasi yang canggih.

Memadailah seorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga melalui solat. Melalui solat jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya dengan katanya: “Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting pada pandanganku ialah mendirikan solat.
Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai. Sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaik-baiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia telah mensia-siakan urusan lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan, kemelesetan ekonomi dan sebagainya mempunyai sebab musabab yang saling berkaitan. Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam itu kerana lemahnya iman malas beribadat.

Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertemu satu kaum yang memecahkan kepala dengan batu. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka akan mengulangi perbuatan itu.

Rasulullah bertanya kepada Jibril berkenaan golongan itu, lalu dijelaskan mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk bersolat fardu.

Zaman ini penuh cabaran dan ujian. Sesiapa saja boleh terpengaruh melakukan perkara dilarang Allah. Jika dibiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa, akan ada yang sanggup menggadaikan akidah demi mengejar kemewahan dan kesenangan dunia yang sementara.

Jika amal ibadah masih sedikit, maka berusahalah untuk meningkatkannya.

Jika ada salah dan silap, mohonlah keampunan serta bertaubatlah kepada Allah. Muslim wajib menginsafi dan mengambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj untuk menjana persaudaraan unggul sekali gus mengorak langkah memahat sejarah mencipta tamadun diimpikan.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: Berita harian

Rabu, 29 Jun 2011

Ijtihad Ibn al-Jazari

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PERKARA penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.

Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.

Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.

Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.

Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.

Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.

Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.

Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.

Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.

Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.

Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab'ah.

Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani(444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy(591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.

Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.

Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.

Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.

Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: "Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah".

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 25 Jun 2011

Ketegasan nabi kepada kaum kafir

SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan dan jumhur. Sedangkan pendapat Qatadah, ia adalah termasuk surah Madaniyyah. Surah ini terdiri daripada enam ayat dan diturunkan selepas surah al-Ma'un.

Hubungan surah ini dengan surah al-Kauthar

Dalam surah terdahulu, Allah SWT memerintahkan kepada rasul-Nya agar beribadat kepada-Nya, mensyukuri nikmat anugerah-Nya yang banyak dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya. Maka dalam surah ini dijelaskan apa yang ditunjuk surah sebelumnya.

Sebab turunnya surah ini

Diriwayatkan bahawa al-Walid Ibn al-Mughirah, al-'As Ibn Wa'il al-Sahmi, al-Aswad Ibn Abdul Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan jemaah yang lain daripada tokoh-tokoh Quraisy menemui Nabi SAW seraya berkata: "Wahai Muhammad, ikutilah agama kami, nanti kami akan mengikuti agamamu, kami akan menyertakanmu dalam urusan kami seluruhnya, kamu sembah tuhan kami selama setahun lalu kami pun menyembah tuhanmu selama setahun, sekiranya ajaranmu itu baik, maka kami akan mengikutimu dan kami akan turut sama aktif, sebaliknya jika ajaran yang ada pada kami baik, maka hendaknya engkau mengikuti ajaran kami dan engkau turut sama di dalamnya".

Bagi menghadapi permintaan itu, maka Baginda menjawab: "Aku mohon perlindungan Allah SWT daripada menyekutukan-Nya dengan yang selain-Nya". Lalu Allah SWT menurunkan surah ini untuk menolak ajakan mereka.

Maka pada pagi-paginya Rasulullah SAW pergi ke Masjid al-Haram. Di sana berkumpul pemimpin-pemimpin Quraisy. Lalu Baginda berdiri di hadapan mereka seraya membacakan surah ini sampai selesai.

Ketika itu mereka berputus asa dan mula memusuhi baginda dan para sahabatnya sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah.

Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan sebab turunnya surah ini:

l Utbah bin Rabi'ah dan Umayyah bin Khalaf bertemu dengan Nabi untuk membincangkan berkenaan dengan tawar menawar dan bertolak ansur di mana masing-masing mengikut agama secara bergilir-gilir, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ubaid bin Umair.

l Orang Quraisy berkata kepada Nabi SAW: Jika kamu suka, supaya kami mengikut agama kamu setahun, dan selepas itu kamu kembali mengikut agama kami setahun pula, lalu turunlah ayat ini. Inilah pendapat Wahab.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-'Uyun menyebut: Allah SWT menurunkan ayat ini dengan perintah "Katakanlah" pada permulaan surah, sama seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas. Ini kerana diturunkan sebagai menjawab pertanyaan orang kafir.

Sayid Qutub berkata: Allah menyeru dengan hakikat diri mereka yang sebenar dan menyifatkan dengan sifat-sifat yang sebenar iaitu mereka bukan berada di atas agama yang benar, mereka bukan orang-orang mukmin dan sebenarnya mereka orang kafir.

Tiada titik pertemuan antara engkau dengan mereka. Ayat ini menerangkan hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu.

Firman Allah SWT: Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

Hanya Allah sahaja yang bersifat Esa. Mungkin persoalan timbul, apakah faedahnya pengulangan ini. Al-Mawardi menjawab dengan dua wajah:

l Ucapan tersebut pada kali yang pertama menggambarkan keadaan dan pada kali yang kedua pula menggambarkan masa akan datang. Inilah pendapat al-Akhfash.

l Yang pertama pada ucapannya aku tidak sembah dan tidak pula kamu memberi makna hal akan datang, sedangkan yang kedua adalah perkhabaran tentangnya dan diri mereka pada masa yang lalu.

Al-Maraghi berkata: Kamu bukanlah penyembah Tuhanku tempat aku berdoa kerana perbezaan sifat-Nya dengan Tuhan yang kamu sembah, maka sekali-kali tidak mungkin dipertemukan antara kedua-duanya.

Setelah baginda menafikan perbezaan pada Tuhan yang disembah, maka baginda pun menafikan persamaan cara penyembahan, kerana mereka menyangka bahawa peribadatan yang mereka lakukan di hadapan penolong-penolong mereka itu, atau di tempat-tempat ibadat yang mereka dirikan, atau tempat-tempat mereka berkhalwat (menyepi) dengan penuh rasa kepercayaan kepada para pemberi syafaat bahawa peribadatan mereka itu murni kerana Allah SWT kerana pada pandangan mereka, Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai apa-apa kelebihan.

Sumber: Utusan Online

Khamis, 23 Jun 2011

Majlis pertunangan atau perkahwinan?

Semanis Kurma: 23 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Majlis pertunangan atau perkahwinan?

Ayat doa untuk kebahagiaan, ketenteraman:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". Surah Yusuf, Ayat 101

dan amalkan baca surah al-Ikhlas x3.

Ayat peringatan dalam berbelanja:

Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. al-Furqan, Ayat 67

Untuk doa-doa semanis kurma yang terdahulu, sila browse kategori Rancangan TV. Tq.

Tafsir Ayat: Israk, Mikraj bukti kukuh kehidupan di akhirat

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat.

Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.

Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.

Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.
Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril

Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.

Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: Berita Harian

Panel eBraille al-Quran

BAGI menyuntik kesedaran tinggi memastikan tidak berlakunya keciciran ilmu al-Quran di kalangan golongan cacat penglihatan, kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan teknologi terkini bagi memudahkan pembacaan, penghayatan dan pengajaran al-Quran Braille.

Kumpulan yang diketuai Dr Mohd Zarhamdy Md Zain ini melakukan transformasi daripada enam jilid al-Quran Braille dihimpunkan kepada sebuah Panel al-Quran Braille Elektronik atau dikenali Panel eBraille al-Quran.

Inovasi berstatus pertama di dunia ini menjadikan senaskhah lengkap al-Quran atau enam jilid al-Quran Braille kepada sebuah panel lengkap.

Penjelmaan titik-titik kod Braille ayat al-Quran dipaparkan melalui sel-sel Braille yang boleh turun dan naik secara automatik dan dikawal pengguna.


Dr Mohd Zarhamdy berkata, teknologi yang dihasilkan bukan saja memudahkan orang buta mempelajari al-Quran, tetapi menjadikan sumber rujukan utama.

Beliau berkata, teknologi yang dihasilkan bersifat mesra pengguna, berkesan kepada golongan sasar sekali gus memudahkan penghayatan tanpa sebarang rintangan.

“Penyelidikan ini berlandaskan tanggungjawab bagi membantu golongan itu selain memudahkan proses pembelajaran ilmu.

“Sebagai sebuah institusi berkepakaran dalam kejuruteraan, UTM berbesar hati memikul tanggungjawab ini.

“Ia sejajar hasrat pelbagai pihak mewujudkan perkongsian ilmu tanpa sempadan sekali gus membuka konsep kesamarataan dalam memperoleh pendidikan,” katanya.

Penyelidikan berteraskan tanggungjawab sosial ini diperuntukkan tempoh selama dua tahun bermula 1 November 2009 dan tamat pada 31 Oktober 2011.

Ia mendapat pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Menerusinya, golongan sasar boleh membawa Panel eBraille al-Quran dengan mudah untuk pembacaan dan pengajaran selain tidak perlu lagi dilakukan menerusi kaedah tradisional.

Ia juga meminimakan beban pengajaran dan pembelajaran bagi golongan bermasalah penglihatan selain membuka era baru keberkesanan pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

Sumber: MyMetro

Rabu, 22 Jun 2011

Imam Syatibiy tokoh qiraat

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy. Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat dan al-I'tisam.

Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy. Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

Walaupun kedua-duanya berasal dari Syatibah di Andalus, tetapi kedua-duanya berbeza kepakaran ilmu dan hidup dalam dua zaman yang berlainan. Ini bermaksud jika yang bercakap tentang Imam Syatibiy dalam bidang perundangan dia adalah pengarang kitab Muwafaqat. Jika penceramah dalam bidang qiraat selalu menyebut nama Imam Syatibiy ia adalah pengarang Matn Syatibiy.

Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri' dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-'As al-Nafazi. Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani iaitu al-Taisir secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail.

Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta' Imam malik berdasar kepada hafalannya.

Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi, ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri dalam Ilmu fawasil.

Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra.

Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat 'Aliyah di Maahad Qiraat.

Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam 'Asim dan dari Tariq Syatibiy.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 18 Jun 2011

Solat tanda bersyukur

SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-'Adiyat.

Hubungan dengan surah al-Ma'un

Dalam surah al-Ma'un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.

Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.

Sebab turunnya surah ini

Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:

l Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.

Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).

Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.

Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.

Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.

l Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: "Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus." Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.

l Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.

Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.

Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir."

Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.

Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.

Pendapat ini ditolak oleh Sheikh Muhammad Abduh sambil menulis dalam tafsirnya pendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.

Namun demikian, Sheikh Muhammad Abduh meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.

Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.

Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.

Demikian juga Muhammad Abduh, al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.

Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:

l Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.

l Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.

l Kenabian seperti pendapat Ikrimah.

l Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata'.

l Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin 'Iyash.

Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:

i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.

ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.

iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.

Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:

i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata', Mujahid dan jumhur.

ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza'.

iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja'far Muhammad bin Ali.

iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.

v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra'.

Sayid Qutub berkata: "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."

Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:

i. Al-'As bin Wa'il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata'.

iv. Uqbah bin Abi Mu'it, sebagaimana pendapat Syamar bin 'Atiah.

v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: "Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat."

Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.

Al-Hassan berkata: "Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian."

Sumber: Utusan Malaysia

Hidupkan budaya al-Quran - Daud

KUCHING 17 Jun - Umat Islam perlu menghidup dan menyuburkan budaya al-Quran bagi menangani pelbagai masalah yang membelenggu ummah sehingga ketinggalan dan semakin lemah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman berkata, walaupun pelbagai kajian dan pandangan diberikan mengenai masalah itu, secara realitinya ia berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri.

Katanya, ia disebabkan oleh sikap ambil mudah dan malas untuk menghayati al-Quran apatah lagi di kalangan generasi muda yang semakin canggung dengan kitab suci itu.

"Oleh demikian marilah kita sama-sama mengeratkan kerjasama yang sedia terjalin untuk mendekatkan diri, anak-anak dan masyarakat kita dengan al-Quran melalui pelbagai program serta aktiviti yang boleh kita rancang bersama dengan menghidupkan semula budaya al-Quran," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah.

Sementara itu, Daud yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah itu mengingatkan semua pihak bahawa cabaran umat Islam pada masa ini amat getir dengan segala ancaman yang merangkumi pelbagai aspek.

Katanya, daripada aspek keselamatan, umat Islam diuji dengan keangkuhan musuh untuk melemahkan kekuatan ummah di seluruh dunia, manakala prestasi ekonomi pula semakin jauh ketinggalan walaupun kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan Allah SWT.

"Daripada aspek sosial pula, kita diancam hakisan nilai-nilai murni dan mulia dalam masyarakat serta generasi baru umat Islam dan menyebabkan pelbagai budaya luar yang dipengaruhi kesesatan telah meresapi generasi muda pada masa ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Qari Negeri Sembilan, Qariah Johor juara

Johan tilawah bawa pulang RM15,000, terima pakej haji

KUCHING: Qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas dan qariah Johor, Suraya Abu Hassan dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak di sini, malam tadi.

Johan tilawah masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM15,000 dan pakej menunaikan ibadat haji.

Sementara qari Perak, Anuar Hasin dan qariah Sarawak, Roziah Ayub muncul naib johan qari dan qariah.

Tempat ketiga dimenangi qari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali dan kategori qariah pula dimenangi juara bertahan, Nor Azrah Ayub.

Pemenang naib johan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 bagi tempat ketiga. Pemenang sagu hati menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah.
Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Seramai 15 qari dan 14 qariah memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing pada tilawah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu. Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Khamis, 16 Jun 2011

Kasihnya bapa

Semanis Kurma: 16 jun 2011
Tajuk perbincangan: Kasihnya bapa

Ayat doa 1:
Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya. Surah Sod, Ayat 35

Ayat doa 2:
Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu). Al-A'raf, Ayat 126

Kaedah berinteraksi dengan al-Quran

BERINTERAKSI dengan al-Quran bermaksud bertindak dengan bentuk tindakan melalui perhubungan yang sewajarnya terhadap kalam Allah. Ini sesuai dengan statusnya sebagai sumber hidayah dalam setiap perkara yang menyentuh keseluruhan hidup manusia.

Bentuk interaksi atau hubungan tersebut mestilah bersifat ta'abbudi iaitu bermatlamatkan ibadah dalam erti kata membina diri sebagai hamba Allah yang mahu diredai oleh Allah selaku Tuhan yang menurunkan al-Quran.

Iman sebagai asas interaksi

Iman merupakan pemangkin dan pemacu kepada seseorang Muslim dalam membentuk interaksinya dengan al-Quran.

Tanpa iman tidak mungkin seseorang Muslim itu mengetahui, menyedari dan akhirnya meletakkan al-Quran di tempat yang selayaknya dalam kehidupannya.

Seseorang Muslim wajib beriman bahawa al-Quran menjadi sumber hidayah yang menjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan akhirat.

Dia perlu mengetahui bahawa al-Quran telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah yang bermaksud: Alif, Laam, Raa'. ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Ibrahim: 1)

Al-Mawardi dalam tafsirnya menerangkan bahawa terdapat empat jenis kegelapan dan empat jenis cahaya iaitu:

*Kegelapan berbentuk keraguan kepada cahaya keyakinan.

*Kegelapan bidaah kepada cahaya sunnah.

*Kegelapan kesesatan kepada cahaya petunjuk.

*Kegelapan kufur kepada cahaya iman.

Iman yang mantap terhadap al-Quran akan mencorakkan gaya berfikir dan cara bertindak seseorang Muslim yang merupakan sebahagian daripada konteks interaksinya dengan al-Quran.

Interaksi tanpa iman tidak membawa kepada hidayah. Contohnya para orientalis beria-ia mengkaji al-Quran tetapi apabila iman tidak menjadi asas disulami pula dengan pelbagai bentuk prejudis terhadap Islam dan umat Islam, segala kajian tersebut hanya sekadar hasil akademik semata-mata.

Al-Quran antara qiraah dan tilawah

Membaca merupakan interaksi terawal seseorang dengan al-Quran. Wahyu pertama sangat jelas dalam menunjukkan kepentingan membaca al-Quran.

Perkataan iqra' yang diulang dua kali cukup membuktikan betapa pentingnya pembacaan al-Quran itu sebagai agenda tetap dalam diari seorang Muslim.

Al-Tantawi menyatakan bahawa pengulangan perkataan tersebut menunjukkan bahawa sesuatu bacaan itu mesti diulang-ulang bagi memantapkannya.

Dalam al-Quran pembacaan itu dirujuk dengan dua kalimah iaitu qiraah dan tilawah. Para ulama seperti al-Raghib al-Asfahani dalam al-Mufradat menyatakan bahawa walau pun kedua-duanya hampir sama tetapi qiraah sifatnya lebih umum dan ia membawa maksud al-jam' iaitu mengumpulkan segala sesuatu.

Penghafalan al-Quran suatu keistimewaan

Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang mendapat jaminan Allah SWT daripada sebarang bentuk penyelewengan. Allah menjadikan umat Islam ini berpeluang untuk menghafal setiap perkataan dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 17)

Al-Farra' mentafsirkan kemudahan yang dimaksudkan adalah dalam menghafalnya dan tiada kitab yang lebih mudah dihafal selain daripada al-Quran. Ia merupakan salah satu keistimewaan al-Quran.

Tadabbur suatu proses penghayatan

Seorang Muslim sewajarnya tidak hanya berpuas hati dengan kebolehan membaca al-Quran dengan baik, sebaliknya mestilah berusaha dalam meningkatkan interaksinya dengan al-Quran melalui proses bertadabbur makna-makna al-Quran.

Tadabbur bermaksud melihat dengan teliti sesuatu hingga ke penghujungnya dan menatijahkan kesimpulan.

Sheikh Dr. Farid al-Ansari menyatakan, tadabbur hendaklah bermula dengan kefahaman melalui penelitian pelbagai pentafsiran al-Quran. Tadabbur bukan tafsir tetapi memahami tafsir. Pentafsiran merupakan ilmu khusus dalam menyingkap dan menerangkan kehendak-kehendak Allah dalam al-Quran.

Memahami tafsir bererti mengambil sebanyak mungkin pengajaran dan Fiqh al-Ayat daripada pentafsiran tersebut. Pendekatan pentafsiran ulama yang pelbagai menjadikan seseorang yang bertadabbur itu semakin banyak maklumatnya.

Walau bagaimanapun ia tidak semestinya dengan mengkaji sedalam-dalamnya setiap karya tafsir yang ada. Tadabbur lebih berupa mengambil pengajaran melalui kefahaman secara umum tentang makna-makna ayat yang dibaca.

Apa yang penting ia tidak terpesong daripada tafsiran para ulama muktabar. Ia juga sesuatu yang menyuntik perasaan kerana merasa ayat-ayat al-Quran itu ditujukan terus kepadanya.

Penyair Mohd Iqbal pernah dipesan oleh ayahnya: "Bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan kepadamu."

Muslim yang menghayati al-Quran akan merasa gementar hati dan perasaan seterusnya membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah dalam al-Quran. Ini merupakan natijah daripada tadabbur yang sebenar.

Tadabbur melalui pentafsiran saintifik

Dewasa ini pentafsiran al-Quran secara saintifik sangat giat dilakukan. Ia menyentuh ayat-ayat al-Quran yang bersifat al-Kauniyyah iaitu ayat-ayat tentang penciptaan alam, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang dihubungkaitkan dengan fakta-fakta sains yang disepakati.

Tokoh-tokoh antarabangsa seperti Dr. Zaghlul al-Najjar, Dr. Harun Yahya, Dr. Abdul Majid al-Zindani dan lain-lain menjadi rujukan dalam hal ini.

Para pengkaji tempatan seperti Dr. Danial Zainal Abidin, Prof. Dr. Yusuf Osman dan Dr. Arif Kasmo juga tidak kurang hebatnya. Kajian-kajian mereka membantu kita dalam bertadabbur dan menambahkan keimanan kita kepada Allah, Rasulullah SAW dan al-Quran.

Ringkasnya tadabbur itu melibatkan tafahhum (memahami secara umum atau khusus), tafakkur (berfikir tentang kaitan makna ayat dalam konteks tertentu) dan tadhakkur (mengambil pengajaran daripada natijah kedua-dua proses sebelumnya).

Pelaksanaan bukti keimanan

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan difahami tetapi hendaklah dilaksanakan segala isi kandungannya. Segala hukum yang terkandung dalam al-Quran wajib dilaksanakan.

Ia merupakan satu kewajipan bukan pilihan. Allah berfirman (maksudnya):

...Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)...(al-Maidah: 48)

Penerimaan sepenuh hati bukti ketaatan

Pelaksanaan terhadap hukum Allah dalam al-Quran mesti didahului dengan penerimaan sepenuh hati terhadap semua hukum-Nya tanpa memilih sebahagian dan menolak sebahagian.

Al-Quran menyatakan hal ini dalam firman Allah (bermaksud): Maka demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (al-Nisa': 65)

Berdakwah menyampaikan al-Quran

Berinteraksi dengan al-Quran dalam konteks menyampaikan isi kandungan dan pengajarannya merupakan tugas dakwah yang amat mulia. Ia sama ada melibatkan proses al-ta'lim atau al-tabligh atau kedua-duanya sekali merupakan tanggungjawab setiap umat Rasulullah SAW.

Firman Allah (bermaksud): Oleh itu, berilah peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azab-Ku. (Qaf: 45)

Kesimpulannya, interaksi dengan al-Quran mesti diimplementasikan dalam bentuk praktikal bukan retorik selain hendaklah bersifat aktif, konsisten, istiqamah, tidak bersifat sementara, tidak bermusim dan melampaui batas geografi dan masa.

Kehidupan seorang Muslim tidak bermakna tanpa penghayatan dalam berinteraksi dengan al-Quran. Natijahnya interaksi manusia keseluruhan dengan alam ini akan harmoni dan sejahtera kerana interaksi sempurna mereka dengan wahyu Allah Pencipta Alam.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tafsir Ayat: Pentingnya beriman kepada perkara ghaib

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/06/16

ALLAH berfirman yang bermaksud: "(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"(Surah al-Baqarah, ayat 3).

Salah satu ciri orang bertakwa kepada Allah ialah beriman kepada perkara ghaib. Istilah ghaib bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasai pancaindera manusia yang lima kerana ia terlalu jauh atau pancaindera manusia tidak berupaya menjangkauinya. Walaupun tidak dapat dilihat atau dirasai oleh pancaindera yang lima, manusia mengakui serta meyakini perkara ghaib dengan jalan pemerhatian dan fikiran berdasarkan dalil yang boleh diterima akal sempurna seperti wujud Allah dan sifat-Nya, malaikat, hari akhirat, syurga dan neraka.

Umumnya, manusia mendiami alam semesta terbahagi kepada dua kategori iaitu pertama, manusia yang hanya percaya kepada benda nyata dan dapat dilihat saja, bahkan mereka tidak mengakui ada sesuatu yang lain di sebalik bumi yang nyata ini.

Dalam hal ini, mereka tidak percayakan ada Tuhan atau malaikat dan dengan sendirinya mereka tidak percaya adanya kehidupan lain selain kehidupan dunia yang dirasai kini. Mereka inilah terdiri daripada golongan komunis, ateis dan sosialis.

Kedua, golongan yang percaya bahawa di sebalik kehidupan dunia bersifat sementara ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Perkara ghaib itu sebenarnya berada di bawah Ilmu Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Semakin bertambah pengalaman hidup diperoleh seseorang manusia maka akan semakin bertambah mendalam kepercayaan dan keimanan seseorang Muslim kepada perkara ghaib.
Kepercayaan kepada perkara ghaib bukan hanya pada agama Islam bahkan penganut agama samawi seperti Kristian, Yahudi dan Buddha turut mempercayai perkara ghaib yang terdapat dalam ajaran masing-masing.

Setiap orang Islam yang mukalaf dan berakal waras wajib percaya atau beriman kepada perkara ghaib kerana Allah yang disembah adalah Zat yang Maha Ghaib. Zat Allah tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia sebaliknya hanya dapat dicapai dan dirasakan oleh jiwa yang beriman serta bertakwa.

Kewujudan Allah dan kehadiran-Nya akan menjadi jiwa sanubari orang beriman menjadikannya tenang dan tenteram.

Selain itu, Allah juga menciptakan banyak makhluk yang tidak dapat dilihat serta disaksikan pancaindera manusia seperti malaikat, jin dan syaitan. Ketiga-tiga makhluk itu mempunyai karektor berbeza antara satu sama lain.

Malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan daripada cahaya, memiliki sifat atau watak tetap iaitu sentiasa taat dan patuh melaksanakan segala diperintahkan Allah. Syaitan pula makhluk yang Allah ciptakan daripada api, hakikatnya adalah musuh Allah yang selalu menggoda dan mendorong manusia supaya ingkar kepada Allah.

Oleh itu, syaitan dan sekutunya memiliki watak antagonis iaitu membisik dalam jiwa manusia supaya tidak percayakan Allah di samping mendorong mereka melakukan pelbagai kejahatan di atas muka bumi ini.

Sebaliknya, jin adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada api juga, tetapi memiliki karektor sama dengan manusia. Dalam kalangan jin, ada yang ingkar dan kufur kepada Allah, ada pula taat dan beriman kepada Allah.

Jin pada hakikatnya tidak dapat mempengaruhi manusia kerana mereka sendiri mendapat godaan dan bisikan syaitan sama seperti manusia. Oleh sebab itulah kalangan jin ada yang beriman dan kafir.

Ketiga-tiga jenis makhluk itu adalah makhluk Allah yang hidup di alam ghaib yang memang tidak dapat dijangkau pancaindera manusia.

Termasuk dalam pengertian ghaib ialah umat Islam zaman ini beriman kepada Rasulullah kerana walaupun tidak pernah melihat atau mengenal wajah sebenar Rasulullah, mereka tetap beriman kepadanya.

Bagi orang yang beriman, dia dapat merasakan seolah-olah Rasulullah tetap hidup biar pun Baginda sudah wafat sejak 1400 tahun lalu.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepada aku; dan berbahagialah juga bagi sesiapa yang beriman pada aku sedangkan dia tidak pernah melihat aku.” (Hadis riwayat Ahmad, Tabrani, Hakim dan Bukhari)

Perlu diinsafi, matlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Sumber: Berita Harian

Video 2 : Amanat Imam Besar Masjid Negara

Penggunaan Ayat al-Quran Dalam Lirik Lagu



Sumber: Jakim, Masjid Negara

Video: Amanat Imam Besar Masjid Negara

Imam Besar Masjid Negara berhubung tanggungjawab kita menjaga kesucian al-Quran.



Sumber: Jakim, Masjid Negara

Rabu, 15 Jun 2011

Tarannum di sisi ulama

Malaysia mendahului negara Islam lain dalam menganjurkan tilawah al-Quran. Pada tahun ini ia merupakan kali yang ke 53, bermaksud sudah lebih 50 tahun Malaysia dikenali seantero dunia Islam dalam penganjuran tilawah.

Banyak negara Islam lain mengikut jejak langkah Malaysia dengan penganjuran musabaqah yang dijadikan program tahunan. Antaranya Arab Saudi, Iran, Libya, Maghribi, Mesir dan lain-lain.

Fenomena ini sedikit sebanyak adalah perkembangan yang baik untuk mendekatkan masyarakat Islam kepada al-Quran.

Mukjizat al-Quran sebagai kitab hidayah atau petunjuk untuk seluruh umat manusia dalam melangsungkan kehidupan di dunia merangkumi perundangan, susun atur kalimah, gaya bahas, penulisan dan juga pembacaannya.

Semua perkara tersebut tidak dapat ditandingi atau diatasi oleh seluruh makhluk. Itulah ketinggian al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT.

Jika ditinjau pendapat ulama berhubung tarannum al-Quran kebanyakannya memberi dua hukum iaitu makruh dan harus.

Sheikh Khalil al-Husari dalam kitabnya bersama al-Quran menyatakan, golongan yang berpegang kepada makruh tarannum al-Quran antaranya adalah Anas Ibn Malik, Said Ibn Musayyab, Said Ibn Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn sirin dan lain-lain.

Sementara itu, ulama yang menyatakan harus bertarannum dan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran antaranya ialah Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas'ud, Ata' Ibn Abi Rabah, Abu Hanifah, Imam Syafei dan pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Tabari dan lain-lain.

Hujah bagi yang menyatakan makruh bertarannum adalah diriwayat daripada Said Ibn Musayyab bahawa beliau mendengar Umar Ibn AbdulAziz mengimamkan solat dengan melagukan suara ketika membaca surah lalu Said Ibn Musayyab mengirim utusan kepadanya seraya berkata semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu sesungguhnya para imam tidak membaca begitu, lalu Umar meninggalkan amalan tersebut.

Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad tentang hukum melagukan al-Quran. Imam Ahmad bertanya siapa nama kamu? Lelaki itu menjawab Muhammad. Imam Ahmad berkata: "Apakah kamu suka jika kamu dipanggil Muuuuhamaaaad dengan memanjang suaranya? Dengan maksud merosakkan makna nama yang mulia tersebut?"

Adapun hujah yang mengatakan harus bertarannum adalah Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'ad. Beliau menyatakan bahawa Abdulrahman Ibn al-Aswad Ibn Yazid mencari dan memilih suara yang bagus dalam masjid di bulan Ramadan.

Al-Tahawi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya mendengar al-Quran yang dibaca dengan berlagu.

Muhammad Ibn Abdul Hakim pula menyatakan bahawa: "Aku melihat Imam Syafei dan Yusuf Ibn Umar mendengar al-Quran yang dibaca secara bertarannum."

Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan al-Nasaie yang menuntut supaya menghiasi al-Quran dengan suara.

Hakikatnya Rasulullah SAW sendiri amat menyukai suara yang merdu membaca al-Quran.

Aisyah r.a pernah menceritakan bahawa: "Satu ketika aku lambat pergi kepada Rasulullah SAW selepas solat Isyak lalu Baginda bertanya: ke manakah kamu sebentar tadi? Aisyah menjawab: Aku terlambat kerana mendengar seorang sahabat kamu membaca al-Quran dan belum pernah aku mendengar orang membaca al-Quran semerdu suaranya. Lalu Rasulullah SAW bangkit bersamaku dan mendengarnya seraya Rasulullah SAW berpaling kepada ku dan bersabda: Dia adalah Salim Maula Abi Huzaifah. Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang seperti ini di kalangan umatku," (riwayat Ibn Majah).

Sempena Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 17 Mei ini, diharap para peserta memberi persembahan yang terbaik dengan mengambil kira hukum tajwid yang diutamakan.

Mereka juga perlu memahami maksud ayat yang dibaca dan menyesuaikan rentak tarannum yang dialunkan. Kepada pendengar pula ambil peluang dengan menikmati alunan suara al-Quran dan menghayati maksud al-Quran yang dipaparkan bersama alunan tarannum.

Sumber: Utusan Malaysia

Taman Seni Mushaf Aceh warisi penyalin al-Quran

Petikan di atas adalah yang sempat penulis catat ketika mengunjungi galeri Muzium Aceh di Banda Aceh, Aceh Darus Salam, Indonesia baru-baru ini.

Begitulah uniknya proses penulisan al-Quran yang dianggap tugas yang sangat mulia setaraf dengan ketinggian dan kemuliaan kitab suci itu sendiri.

Sementelah Aceh turut terkenal dengan panggilan Darul Quran, maka tidak menghairankan jika kitab suci adalah denyut nadi para penduduknya yang 99 peratus beragama Islam sejak berabad lamanya sehingga sekarang.

Sejarah pengumpulan dan penulisan mushaf al-Quran (Mushaf Uthmani) dimulai sejak abad ke-7 Masihi.

Kemudiannya dikirim salinan-salinan mushaf itu oleh Khalifah Uthman bin Affan ke seluruh wilayah Islam di serata dunia termasuk wilayah Nusantara.

Baca artikel penuh di Utusan Malaysia

Selasa, 14 Jun 2011

Bekas PM Britain baca Al-Quran setiap hari

LONDON - Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang merupakan seorang penganut ajaran Katholik, mengaku membaca kitab suci umat Islam, al- Quran (yang diterjemahkan) pada setiap hari, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemimpin berusia 58 tahun itu berkata, beliau membaca Al-Quran untuk memastikan bahawa beliau lebih memahami tentang ajaran Islam.

Dalam satu wawancara dengan majalah Observer yang disiarkan pada Sabtu lepas, Blair berkata: "Saya percaya adalah penting untuk kita celik agama dalam dunia global masa kini."

"Saya membaca al-Quran setiap hari. Antara tujuannya adalah untuk memahami beberapa perkara yang berlaku di dunia ini, tetapi lebih penting, ia (al-Quran) banyak memberikan maklumat berguna," ujarnya.

Menurut Blair, beliau percaya kefahaman mengenai Islam dapat membantu dalam peranannya sebagai Utusan Rasmi Asia Barat untuk Kuartet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Blair sebelum ini memuji agama Islam sebagai indah dan menyatakan Nabi Muhammad SAW penggerak yang kuat dalam membentuk masyarakat bertamadun.

Adik ipar pemimpin tersebut, Lauren Booth memeluk agama Islam pada Oktober tahun lalu. - Agensi

Sumber: Kosmo

Cinta Cyber, bahaya atau bahana

Semanis Kurma: 9 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Cinta Cyber; Bahaya atau Bahana

Ayat doa 1:
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Al-Fatihah, Ayat 6

Ayat doa 2:

Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat. al-mukminin, Ayat 109

Ayat doa 3: Mohon perlindungan

Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. al-mukminin, Ayat 97

Isnin, 13 Jun 2011

Inteam Records terbit Album Generasi Al-Quran

Gambar dari site inteammobile. Sila click utk ke page album

MUTAKHIR ini, Inteam Records Sdn Bhd lebih menonjol dengan produk berunsur bacaan al-Quran, zikir dan marhaban. Matlamat utama untuk mengetengahkan alternatif lain bagi hiburan dan pengisian rohani kepada masyarakat selain dari alunan nasyid. Bacaan al-Quran contohnya, adalah ubat terbaik untuk hati.

Sebagai lanjutan daripada album bacaan al-Quran yang sudah diterbitkan sebelum ini, kini Inteam Records Sdn Bhd menampilkan album bacaan al-Quran secara bertarannum dan berqiraat yang diberi judul Generasi Al-Quran.

Istimewanya album ini ia menampilkan bacaan oleh empat beradik yang cukup berwibawa iaitu Tirmizi Ali, Hafas Ali, Muslim Ali dan Yahya Ali. Mereka adalah bekas finalis rancangan Akademi Al-Quran TV9.

Sebagai contoh, Tirmizi Ali adalah juara AQ4, Hafas pula naib juara AQ2, Muslim dan Yahya masing-masing mendapat tempat ketiga bagi AQ2 dan AQ4.

Album Generasi Al-Quran ini mengandungi enam, Surah Al-Fath (ayat 27-29), Surah Fussilat (ayat 9-15), Qasidah, Surah Al-Ahzab (ayat 21-27), Surah Ali ‘Imran (ayat 133-140) dan Selawat.

Semua surah itu dibaca secara bertarannum dan berqiraat yang berbeza. Album terbitan dan edaran Inteam Records Sdn Bhd ini sudah berada di pasaran dan dijual pada harga RM19.90. Untuk belian secara on-line boleh melayari www.inteammobile.com. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan album ini di pasaran.

Pada waktu sama, syarikat rakaman itu turut menerbit dan mengedarkan album zikir yang diberi nama Keberkatan Zikrullah yang menghimpunkan zikir harian. Hanya dengan mengingati Allah s.w.t jiwa akan tenang.

Semua zikir itu dialunkan empat ustaz yang terkenal di negara ini, Almarhum Ustaz Asri Ibrahim, Ustaz Dzulkarnain Hamzah, Ustaz Amaluddin dan Ustaz Akhil Hayy.

Dengan berbekalkan nada suara yang merdu dan sayu, semua ustaz itu berjaya menghidupkan album ini sebagai satu wadah untuk melembutkan hati dan mendekatkan diri pada Allah s.w.t. Album ini sangat sesuai didengar pelbagai golongan masyarakat terutama remaja, dewasa dan sebagai pengisian rohani untuk anak-anak.

Album Keberkatan Zikrullah ini mengandungi 17 trek antaranya Zikir Subhanallah, Istighfar, Hasbiyallah dan Astaghfirullah.

Ia berada di pasaran sejak 25 April lalu yang dijual pada harga RM19.90. Album ini juga boleh didapat secara on-line di www.inteammobile.com.

Sumber: Harian Metro

Khamis, 9 Jun 2011

29 qari, qariah sertai Tilawah al-Quran

KUCHING: Seramai 29 qari dan qariah termasuk johan menunggu kedua-dua kategori berkenaan, akan menyertai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-54 selama lima malam, mulai Isnin ini, bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini.

Dengan tema ‘1Malaysia 1Ummah’, ini adalah kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah tilawah peringkat kebangsaan, selepas 1987 dan 1999.

Perasmian tilawah kali ini akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam Isnin ini. Turut dijangka hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Tafsir Ayat: Maruah, iman luntur apabila individu menipu

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/06/09

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Keserasian antara perilaku dan tutur kata adalah satu sifat terpuji yang dianjurkan Islam. Sikap adalah lambang kepada keperibadian Muslim yang bertakwa kepada Allah. Oleh itu, Allah amat murka kepada orang yang bercakap tak serupa bikin.

Al-Syeikh Jamaluddin al-Qasimi dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Qasimi menjelaskan, mengatakan sesuatu yang tidak pernah dikerjakan adalah satu perbuatan dusta dan sifat berdusta itu tidak akan wujud pada seseorang mempunyai maruah iaitu yang mengetahui akan harga dirinya.

Sedangkan maruah adalah dasar utama menimbulkan iman. Jika dasar iman yang tulen itu bertapak kukuh di sudut jiwa, maka dengan sendirinya iman akan menumbuhkan dahan sifat terpuji.

Apabila seseorang itu berbohong dan berdusta bermakna maruahnya sudah luntur atau iman mula goyah.

Baginda Rasulullah SAW menyampaikan Islam kepada umat manusia melalui perkataan sederhana yang begitu mudah difahami, diterima, dengan sikap yang tegas dan tindakan jelas pada pandangan umum.

Pendek kata, formula kejayaan cemerlang Baginda Rasulullah SAW dalam dakwah Islam sebenarnya terletak pada keselarasan ucapan dengan perbuatannya, niat dengan amalnya, dalam keadaan suka mahupun duka detik kehidupannya.
Risalah Islam yang disampaikan Rasulullah berupaya membina peribadi umat Islam yang unggul dan membentuk manusia memiliki nilai kebaikan dan kebajikan kepada manusia sejagat.

Corak kehidupan diserikan perhiasan tauhid dan amanah yang mewarnai setiap personaliti Muslim yang mendukung Islam sebagai cara hidup menyeluruh. Kehidupan seumpama inilah yang menjadi rahsia kekuatan dan keunggulan umat Islam di zaman Rasulullah dan zaman selepasnya.

Kebanyakan umat Islam kini sekadar bercakap tak serupa bikin di mana mereka kerap melaung-laungkan Islam sebagai cara hidup tetapi realiti adalah sebaliknya. Sifat yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak mengamalkan samalah seperti lagak seorang munafik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara iaitu; apabila berjanji tidak ditunaikannya, jika berkata-kata dia berdusta dan apabila dia diberi amanah dia mengkhianatinya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sifat nifak sifat yang tercela dan akan mengakibatkan kerugian bukan hanya kepada individu itu, malah ia boleh mengakibatkan padah buruk kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Sifat nifak seumpama duri dalam daging atau musuh dalam selimut.

Pengalaman Khalifah Umar wajar dijadikan panduan kepada mereka yang bersifat munafik atau suka berdusta kerana pada mata umum, kesalahan dapat ditutup tetapi hakikatnya Allah mengetahui semua yang kita lakukan hatta bisikan hati.
Khalifah Umar berkata: “Wahai si penggembala! Jualkan saja kepadaku seekor anak kambing dari ternakanmu ini.”

Pengembala berkata: “Aku ini sebenarnya hanyalah seorang budak suruhan saja.”
Khalifah Umar berkata: “Itu tidak ada masalah! Kamu katakan saja kepada tuanmu nanti bahawa anak kambing itu telah pun dimakan serigala.”
Pengembala berkata: “Kalau begitu, di mana Allah sebenarnya?”

Akhirnya, Khalifah Umar berkata kepada pengembala: “Ungkapan kamu di mana Allah tadi telah memerdekakan kamu di dunia ini, semoga kalimat itu pula yang akan memerdekakan kamu di hari akhirat kelak.”

Betapa kisah penuh pengajaran itu menggambarkan ajaran Islam menyerlah dan terjelma secara praktikal dalam setiap aspek kehidupan. Oleh sebab itu, umat Islam dapat menempa kejayaan cemerlang dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.

Sumber: Berita Harian

Rabu, 8 Jun 2011

Larangan mendoakan keburukan

ALLAH tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang lain), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (an-Nisaa: 148)

Huraian

Allah tidak sukakan perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan yang keji secara terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiayai yang menuntut keadilan dari kezaliman yang telah dilakukan ke atasnya.

Namun demikian Allah tetap sukakan sifat memberi kemaafan terhadap perbuatan yang buruk dan Allah bersifat Maha Pemaaf dan Maha Berkuasa.

Allah juga tidak menyukai orang yang berdoa untuk kecelakaan orang lain melainkan jika ia merasa teraniaya haknya. Tetapi jika ia dapat menahan diri dan bersabar , itu adalah lebih baik.

Allah hanya menyukai kata-kata yang sopan yang tidak menyinggung perasaan yang tidak merosak akhlak.

Perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan celaan yang keji secara terbuka atau terang-terangan (dalam apa jua bentuk) amat mudah dilakukan sekiranya di dalam hati tidak ada perasaan segan kepada dosa dan tidak ada kesedaran takwa kepada Allah.

Apabila tersebarnya perkataan atau berita yang keji ini akan memberi kesan yang mendalam di dalam hati nurani masyarakat dan membolehkan timbulnya perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

Seterusnya mendorong orang ramai menyangka perkara keji itu menjadi lumrah di dalam masyarakat dan tidak ada perasaan segan di dalam hati mereka.

Kesimpulan

Allah menyatakan kebencian-Nya kepada kaum muslimin yang melakukan perbuatan menyebarkan perkataan-perkataan yang keji di kalangan mereka. Allah membataskan hak mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk secara terbuka itu hanya kepada mereka yang mendapat penganiayaan sahaja.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Suara merdu Rasulullah

SATU program tarannum al-Quran yang disiar secara langsung melalui televisyen di Malaysia ialah Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Tahun ini, tilawah peringkat kebangsaan akan diadakan di Sarawak, minggu hadapan.

Pemilihan qari dan qariah di peringkat negeri pula sudah selesai diadakan. Sebelum mereka ke peringkat kebangsaan, setiap peserta akan mendalami lebih banyak ilmu berkaitan seni lagu al-Quran. Paling penting ialah penekanan kepada ilmu tajwid dan fasahah.

Tajwid dan fasahah adalah aspek yang mempunyai nilai markah yang tinggi dalam penghakiman tilawah al-Quran.

Jika peserta membuat persembahan mantap dalam sudut suara dan seni lagu Quran namun waqaf (tempat berhenti), ibtida' (tempat mula), sifat huruf dan mahkrajnya serta ilmu bersangkutannya banyak berlaku kesalahan sudah tentu markah keseluruhannya rendah.

Sebahagian masyarakat masih keliru adakah begini cara Rasulullah SAW bertarannum membaca al-Quran?

Ia satu persoalan yang memerlukan jawapan yang rapi dan teliti. Realitinya nama lagu al-Quran seperti bayati, sikah, jiharkah, soba, nahawand, rast dan lain-lain wujud pada zaman mutakhir.

Walaupun penamaan seni lagu Quran seperti yang disebut di atas tidak wujud pada zaman Rasulullah, namun Nabi membaca al-Quran dengan suara yang amat merdu dan boleh menusuk jiwa yang mendengarnya.

Jubair ibn Mut'im r.a berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tuur ketika solat maghrib. Tidak pernah aku mendengar suara semerdu suara Rasulullah SAW atau sesedap bacaan baginda SAW."

Ketika baginda membaca ayat 35 surah Tuur bermaksud: (mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya atau adakah mereka mencipta diri mereka sendiri?

Jubair Ibn Mut'im berkata: "Seakan-akan jantungku tersedar dan hatiku melayang."

Ketika itu Jubair masih lagi musyrik dan beliau datang ke Madinah untuk urusan penebusan tawanan perang Badar. Ketika itu juga beliau memeluk agama Islam.

Kesan alunan suara Rasulullah membaca al-Quran dengan suara yang menarik, amat merdu dan membaca dengan hati yang khusyuk telah menatijahkan keislaman Jubair Ibn Mut'im.

Diriwayatkan daripada al-Bara' Ibn 'Azib r.a, beliau berkata: "Aku mendengar Nabi SAW membaca surah al-Tin dalam solat Isyak. Dan aku belum mendengar seorang pun yang lebih merdu suara daripadanya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain membaca al-Quran dengan baik, baginda juga memuji para sahabat yang mempunyai bacaan Quran yang menarik.

Antaranya baginda pernah bersabda kepada Abu Musa al-Asyari: Sesungguhnya kamu dianugerahkan serunai dari serunai keluarga Nabi Daud a.s. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai bacaan al-Quran yang amat merdu dan baginda juga memuji Abu Musa al-Asyari yang membaca al-Quran dengan suara yang baik.

Sehingga ada riwayat yang menyatakan selepas Rasulullah memuji Abu Musa al-Asy'ari beliau berkata: Demi Allah, jika aku tahu kamu mendengar bacaan ku Ya Rasulullah sudah tentu aku memperelokkan lagi bacaanku. (riwayat Muslim).

Perkara utama yang perlu diutamakan ketika membaca al-Quran secara bertarannum adalah tajwid dan fasahah.

Apabila rentak tarannum al-Quran yang perlu dialunkan melebihi kadar mad yang ditetapkan ketika itu qari mestilah mengikut kadar mad yang telah ditetapkan. Jangan sekali-kali melakukan kesalahan tajwid demi menjaga rentak lagu yang dialunkan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Isnin, 6 Jun 2011

Hidup lebih fokus apabila berdamping kitab suci

Oleh Ashraf Muslim

2011/06/06

Menghayati al-Quran bersama tafsirannya buatkan jiwa individu sentiasa disemai dengan ketakwaan

TERINGAT lagi ketika kecil, setiap kali selepas solat Maghrib, ibu akan mengajar saya membaca al-Quran. Ibu adalah ‘guru mengaji’ yang setia mengajarkan kami kalimah Allah bagi memastikan kami adik beradik celik al-Quran.

Walaupun ilmu membaca al-Quran memang sudah disemai di dada sejak kecil tetapi tidak dinafikan dari segi amalan memang ada cacat celanya. Apabila kembali mendekatkan diri dengan al-Quran, saya terasa perbezaannya.
Oleh itu, boleh saya katakan, perubahan yang saya lalui kini ada kaitannya dengan mukjizat al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. Kesetiaan berdampingan dengan kitab Allah menjadikan saya kini lebih fokus dengan apa yang ingin dilakukan serta dicapai dalam hidup.

Selain menjadikan hati yang resah kembali tenang, wahyu Allah memiliki seribu satu kelebihan dan hanya mereka yang pernah merasai dapat menceritakan kemanisan pengalaman itu. Ini kerana semua mempunyai cerita masing-masing.

Kehidupan saya rasakan lebih mudah selepas berjinak-jinak kembali membaca al-Quran secara istiqamah, sekurang-kurangnya satu halaman sehari. Perancangan harian juga menjadi lebih teratur kerana fikiran lebih fokus.

Justeru, apabila melihat anak muda sekarang seakan menjauhkan diri daripada al-Quran, timbul rasa sedih. Seseorang itu tidak semestinya perlu berubah menjadi alim untuk membaca al-Quran kerana membaca al-Quran sepatutnya sebahagian daripada amalan harian.

Kita kata hendak semua tetapi bagaimana mungkin kita akan mendapat semuanya jika diri serta fikiran tidak fokus. Tetapi cuba dekatkan diri dengan al-Quran, Insya Allah ia akan membuka jalan untuk kita melangkah ke depan. Cubalah.

Saya sendiri tidak pandai membaca al-Quran secara berlagu seperti qari dan qariah hebat yang kita tonton di televisyen dan ilmu tajwid pun masih perlu diasah lagi supaya lebih mantap. Tetapi, kesan daripada amalan itu memang menakjubkan.

Malah, ganjaran yang dijanjikan juga begitu besar. Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)

Pengalaman saya sendiri, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengakui hatinya lebih tenang selepas mengamalkan membaca surah yang diberi sebagai penawar untuk penyakit dihadapinya.

Ada juga mengakui, sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran atau tergagap-gagap mengalunkan kalimah Allah tetapi kini sudah boleh membaca dengan lancar. Alangkah indahnya pengalaman serta nikmat diterima mereka.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Allah mengurnia rahmat

SURAH Quraisy mengandungi empat ayat. Ia termasuk dalam surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Tin. Inilah pendapat jumhur ulama.

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut pendapat yang mengatakan surah ini diturunkan di Madinah sebagaimana pendapat al-Dahhak dan Ibn al-Sa'ib.

Hubungan surah ini dengan surah al-Fil

Kedua-dua surah itu mengandungi perbincangan tentang nikmat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada penduduk Mekah. Dalam surah al-Fil dinyatakan tentang musuh Allah SWT yang dibinasakan kerana ingin merobohkan Baitu al-Haram yang menjadi asas ketinggian dan kemuliaan mereka.

Dalam surah Quraisy pula disebutkan nikmat lain iaitu kesatuan dalam urusan dan kekuatan mereka agar mudah mengadakan perjalanan pada musim panas dan musim dingin dalam menjalankan urusan perniagaan dan mendapatkan bahan makanan.

Sehubungan itu, dengan adanya pertalian yang kuat antara kedua-dua surah, Ubay Ibn Ka'ab memandang kedua-duanya sebagai satu surah sehingga diriwayatkan daripadanya bahawa dia tidak memisahkan antara kedua-dua surah tersebut dengan Basmallah.

Firman Allah SWT: Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Al-Mawardi berkata: Perkataan ilaf memberi maksud adat dan tafsiran ayat ini mempunyai empat pendapat:

i. Nikmat-Ku terhadap kaum Quraisy kerana nikmat Allah yang banyak dikurniakan kepada mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Mujahid.

ii. Allah menjadikan golongan Quraisy dalam kebiasaan yang baik, khususnya musafir. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.

iii. Keadaan nikmat orang Quraisy yang dapat menguasai Tanah Haram, di samping mengimarahkan rumah Allah. Inilah makna pendapat al-Hasan.

iv. Ia kembali kepada tradisi orang Quraisy melakukan pelayaran pada musim sejuk dan panas dalam mendapat kemewahan hasil perniagaan. Inilah pendapat Makhul.

Al-Maraghi berkata: Oleh yang demikian, hendaklah orang Quraisy menyembah Tuhannya sebagai tanda bersyukur terhadap nikmat dijadikan-Nya mereka sebagai kaum pedagang yang berkelana jauh ke negeri-negeri yang tidak mempunyai tumbuhan dan binatang ternakan.

Mereka mempunyai dua musim pengembaraan iaitu ke Yaman pada musim dingin untuk mencari minyak wangi dan rempah-rempah yang didatangkan dari negeri-negeri India dan Teluk Parsi ke Yaman dan negeri Syam pada musim panas untuk mencari hasil bumi yang akan dibawa pulang ke negeri mereka yang tidak mempunyai hasil bumi.

Orang Arab selalu menghormati mereka dalam perjalanannya kerana mereka jiran tetangga dan penduduk Tanah Haram-Nya serta para penguasa Kaabah. Disebabkan itu, mereka pergi dan pulang dengan aman dan pulang dengan selamat, tidak ada sebarang gangguan meskipun sering berlaku rampasan dan rompakan di kalangan orang Arab.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Khamis, 2 Jun 2011

Hatiku baran

Semanis Kurma: 2 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Hatiku baran

Ayat doa 1


Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar. At-Taubah, Ayat 129

Ayat doa 2


Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman. Al-Baqarah, Ayat 88

Ayat Motivasi



Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. Ali-Imran, Ayat 134-136

Buat apa marah2.. nanti cepat tua.. muka kerut2 kedut2... heheeeeheee

Untuk himpunan doa-doa Semanis Kurma yg terdahulu, sila click category - Rancangan TV

Tafsir Ayat: Pelihara halal, haram dalam pemakanan

ALLAH berfirman maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Islam adalah satu-satunya ad-din diredai Allah yang menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan di akhirat. Malah Islam juga satu agama yang memelihara kehidupan umatnya daripada perkara-perkara yang mudarat dan merosakkan. Oleh sebab itu, Islam mensyariatkan hukum halal dan haramnya dalam setiap aspek kehidupan umatnya.

Justeru, setiap Muslim wajib memelihara setiap perkara yang halal dan haram dalam pemakanannya. Dalam kata lain, setiap Muslim wajib memerhatikan apa yang dimakan supaya tidak termasuk bahan haram yang akhirnya menjadi isi dagingnya. Daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka api nerakalah bahan pembakarnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap daging badannya yang tumbuh daripada benda yang haram (yang menghilangkan berkat), maka nerakalah yang lebih utama bagi orang itu.” (Hadis riwayat Ahmad & Tirmizi) Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati terhadap pemakanannya agar bersih daripada sumber yang haram. Dari segi hukum menurut perspektif Islam, semua jenis makanan yang ada di atas muka bumi ini adalah halal dimakan kecuali beberapa jenis yang terang-terang diharamkan Allah dan Rasul-Nya. Berdasarkan prinsip ini, sebenarnya makanan halal itu banyak dan wujud dengan meluas di muka bumi. Bagaimanapun, oleh kerana industri makanan dikuasai orang bukan Islam, maka pengeluaran dan pengedaran makanan tidak halal itu melimpah di pasaran dunia dan menenggelamkan makanan halal.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Rabu, 1 Jun 2011

Syeikh Mustafa Qari Diraja Mesir

MESIR adalah satu negara yang mempunyai ramai qari yang masyhur. Secara umumnya negara Mesir yang dibuka oleh Amru Ibn al-As ra di zaman Umar Ibn al-Khattab ra adalah tempat pengajian al-Quran yang terulung.

Ramai ulama al-Quran yang menghasilkan penulisan berkaitan Tajwid, Qiraat dari Mesir antaranya; Syeikh al-Mutawalli, Syeikh Ali Dabba', Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi, Syeikh Amir Sayyid Uthman dan lain-lain.

Dalam bidang pengajian al-Quran secara bertarannum pula Mesir mendahului negara Islam. Ramai qarinya yang masyhur dan mampu mempersembahkan bacaan yang menarik dan memukau.

Jika ditanya bagaimana sedapnya suara yang membaca al-Quran ini cukuplah dengan fakta di mana terdapat mereka yang mengucap dua kalimah syahadah selepas mendengar bacaan al-Quran mereka.

Ramai di kalangan qari Mesir mempunyai pakej lengkap. Suara yang merdu, tajwid yang kemas, fasahah yang mantap, memahami makna al-Quran, menghafaz al-Quran dan gaya persembahan yang menarik telah menjadikan bacaan al-Quran mereka terus masuk ke dalam kalbu pendengar.

Salah seorang qari yang menempa namanya di peringkat antarabangsa dan mempunyai suara merdu dan mempunyai legenda tersendiri ialah Syeikh Mustafa Ismail. Beliau dilahirkan pada 17 Jun 1905. Mendapat pendidikan al-Quran daripada ramai guru antaranya; Syeikh AbduRahman Abu al-Aynain, Syeikh Muhammad Hashis dan Syeikh Idris Fakhir. Sebagai makluman kepada qari di Malaysia, Syeikh Mustafa Ismail khatam al-Quran di hadapan gurunya Syeikh Fakhir sebanyak 30 kali.

Gaya bacaan yang dibawa oleh Syeikh Mustafa dan suaranya yang unik menjadikan bacaannya berlainan dengan bacaan qari lain ketika itu. Ketika gurunya, Syeikh Mustafa Murawwaj mendengar bacaannya, beliau terpegun dan berkata itu adalah ilmu berkaitan bacaan al-Quran, suara kamu amat merdu. sejak dari itu, setiap kali bermulanya pengajaran gurunya akan mengarahkannya membaca al-Quran.

Nama Syeikh Mustafa menjadi sebutan di kalangan masyarakat Mesir apabila beliau membaca al-Quran di majlis ma'tam (bacaan al-Quran selepas pengkebumian jenazah).

Beliau menceritakan kisah tersebut berlaku di mana qari utama yang mulakan bacaan al-Quran ialah Syeikh Muhammad Salamah. Ramai pendengar yang menjadi peminat Syeikh Salamah dan mereka akan beredar meninggalkan majlis sejurus selepas tamatnya bacaan Syeikh Salamah.

Sudah menjadi kebiasaan, qari yang membaca al-Quran selepas Syeikh Salamah, pendengarnya hanya kerusi sahaja. Malam pertama, bacaan al-Quran dimulai pada jam 8 malam oleh Syeikh Salamah dan bacaanya berakhir pada pertengahan malam. Sejurus selesai bacaannya, tanpa berlengah Syeikh Mustafa memulakan bacaan di waktu sudah ramai pendengar berlalu meninggalkan majlis.

Apabila mereka mendengar suara Syeikh Mustafa ada yang kembali ke tempat duduk dan ada yang berdiri. Semakin tinggi suara Syeikh Mustafa mengalunkan ayat al-Quran semakin ramai yang datang dan mula memenuhi tempat duduk.

Akhirnya ramai yang datang dan semua tempat duduk dipenuhi. Alunan suaranya yang unik dan kemantapannya membaca al-Quran mampu mengekalkan pendengar berada di tempat duduk sehingga ke jam 4.30 pagi.

Seterusnya, Syeikh Mustafa menjadi qari di Radio Quran Mesir. Surah pertama yang dibaca ialah surah al-Tahrim. Namanya melonjak naik dan menjadi sebutan penduduk Mesir. Setiap Ramadan, dari tahun 1943 hingga tahun 1952, Syeikh Mustafa bersama Syeikh Abu al-Aynayn dijemput membaca al-Quran di hadapan Raja Mesir, King Fuad dan para menterinya. Bacaannya disiar secara langsung melalui Radio Al-Quran Mesir.

Banyak kisah menarik berkaitan qari legenda ini yang telah dibukukan untuk menjadi panduan kepada qari selepasnya. Selepas menjadi khadam kepada al-Quran dan menyebar al-Quran melalui kelunakan suaranya pada tahun 1978, Syeikh Mustafa Ismail kembali menghadap Allah SWT.

Berita kematiannya mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Seorang mufasir terkenal Syeikh Mutawali Sya'rawi telah menyampaikan ucapan sebelum jenazah Syeikh Mustafa Ismail disemadikan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...